global

Pertimbang batal tempahan 737 MAX

Oleh Agensi

Dublin/Singapura: Larangan terbang pesawat Boeing siri 737 MAX di seluruh dunia membawa masalah kepada syarikat penerbangan yang perlu mencari pesawat gantian namun ia juga memberi peluang kepada syarikat terbabit menilai kembali tempahan pesawat itu.

Hampir seluruh dunia dan syarikat penerbangan melaksanakan larangan terbang pesawat itu sejak minggu lalu, berikutan 737 MAX 8 milik Ethiopia Airlines terhempas enam minit selepas berlepas dari Addis Ababa, membunuh 157 orang.

Ia nahas kedua membabitkan pesawat itu dalam tempoh tidak sampai enam bulan pesawat model sama milik Lion Air Indonesia terhempas ke dalam laut pada Oktober tahun lalu.

Ketua Penganalisis Pusat Penerbangan CAPA, Brendan Sobie berkata, bagi syarikat penerbangan penggantungan itu boleh dijadikan alasan untuk menangguh atau membatalkan penghantaran pesawat model berkenaan yang sudah ditempah.

Biasanya ada penalti kewangan kepada syarikat yang membatalkan tempahan atau pengeluar gagal melaksanakan penyerahan dalam terma kontrak.

Tidak dapat dipastikan jumlah yang boleh dituntut syarikat penerbangan akibat kehilangan pendapatan selepas penggantungan MAX.

Antara syarikat penerbangan yang kesal kerana menempah 737 MAX ialah syarikat penerbangan Vietnam, VietJet Aviation JSC, yang menempah 200 pesawat itu. Syarikat itu akan membuat keputusan mengenai tempahannya selepas mendapat maklumat lanjut hasil siasatan nahas.

Selain itu, syarikat penerbangan Malaysia, Malaysia Airlines menyatakan ia mengkaji semula tempahan 25 pesawat itu manakala Garuda Indonesia berkemungkinan membatalkan tempahan 20 unit, jumlah yang dikurangkan daripada 49 selepas pesawat Lion Air terhempas.

Lion Air, satu daripada tiga pelanggan Boeing bagi 737 MAX sudah menyatakan kesangsian untuk meneruskan tempahan 187 unit pesawat itu dan menghentikan penyerahan pesawat sehingga laporan penuh siasatan diketahui hujung tahun ini.

Di Eropah, Norwegian Air yang kewangannya tidak begitu baik, menangguhkan penghantaran baki 12 pesawat itu dan menjadi syarikat pertama menuntut ganti rugi daripada Boeing akibat larangan terbang pesawat terbabit.

Bagi syarikat besar, termasuk American Airlines Group Inc dan China Southern Airlines Co Ltd, pesawat 737 MAX hanya sebahagian kecil daripada armadanya.

Namun, bagi syarikat kecil, seperti Iceland Air, LOT (Poland) dan Norwegian Air Shuttle ASA, larangan terbang itu membawa kerugian besar kerana antara 11 hingga 25 peratus penerbangan musim panas menggunakan 737 MAX.

Penganalisis Goodbody, Mark Simpson berkata, keadaan itu akan menjejaskan operasi syarikat terbabit serta aliran tunai.

Disiarkan pada: March 17, 2019 @ 8:03am
d