global

Penggal kepala 'ahli sihir' kerana sakit

Oleh Agensi

Jharkhand: Dua beradik lelaki membunuh dan memenggal kepala seorang wanita kerana mempercayai mangsa adalah ahli sihir yang menyebabkan mereka sakit dalam kejadian di Singhbhum, baru-baru ini.

Suspek Vijay Malegandi, 28, dan Singhe Malegandi, 26, dari kampung Simbanda ditahan reman polis Jumaat lalu selepas mereka kembali dari Vishakhapatnam.

Hindustan Times melaporkan, mayat Phulmani Devi, 30, yang juga penduduk kampung itu ditemui tanpa kepalanya atas landasan keretapi pagi 3 Mac lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 petang, 2 Mac lalu, mangsa dalam perjalanan pulang dari pasar ketika diserang suspek dengan sabit dan kepalanya disorok dalam semak.

Polis mengklasifikasikan mangsa mati mengejut kerana sukar mengecam identitinya, namun membuka semula kes selepas suami mangsa dan seorang kakitangan keretapi di Sambalpur membuat laporan terhadap suspek.

Siasatan mendapati mangsa dipersalahkan kerana Vijay menderita penyakit seksual, manakala Singhe mengalami sakit perut serius selain anak saudara suspek yang baru lahir meninggal dunia.

Suspek sebelum melarikan diri ke Vishakhapatnam memberitahu seorang penduduk mereka membunuh ahli sihir dan perkara itu disampaikan kepada suami mangsa.

Sejak Januari lalu, empat kes pembunuhan berkaitan ahli sihir dilaporkan di Jharkhand.

Disiarkan pada: March 17, 2019 @ 6:27pm
d