global

Boleh mengundi selepas 8 tahun

Oleh AFP

Bangkok: Ratusan ribu pengundi memenuhi sekolah, tempat letak kereta dan kuil di seluruh Thailand, hari ini, untuk undian awal seminggu sebelum pilihan raya pertama negara itu selepas lapan tahun.

Lebih 2.3 juta penduduk Thailand dijangka mengundi sebelum tarikh undian rasmi pada 24 Mac ini.

Sejak rampasan kuasa pada 2014 yang menggulingkan kerajaan awam pimpinan Yingluck Shinawatra, pihak tentera sering menangguhkan pilihan raya demokratik sekali gus mengecewakan masyarakat awam Thailand.

Pengundi memenuhi halaman sekolah sebelum pusat pengundian dibuka di daerah Dusit yang juga pusat pentadbiran kerajaan.

Orang ramai datang ke pusat undian memakai pakaian kerja sama ada seragam tentera, hospital dan pakaian yang lebih kasual, masing-masing menunggu dengan sabar untuk membuang undi sambil dibantu pelajar sukarelawan.

Pada 9 pagi tadi, ketua Majlis Privy yang juga lembaga penasihat kepada Raja Thailand Maha Vajialongkon, Prem Tinsulanonda tiba di sekolah. Disaksikan media tempatan dan antarabangsa, Prem, 98, yang berkerusi roda ditolak masuk ke dalam bilik darjah seterusnya ke bilik undian.

Lebih 51 juta rakyat Thailand layak mengundi dalam pilihan raya rasmi pada 24 Mac di bawah perlembagaan ketenteraan baharu.

Penganalisis berkata, sistem pilihan raya baharu itu menyokong parti yang diselaraskan tentera di bawah pemimpin junta, Prayut Chan-O-Cha yang menjadi perdana menteri selepas membentuk kerajaan.

Tetapi pengundi masih berpegang pada harapan untuk melakukan perubahan.

Disiarkan pada: March 17, 2019 @ 11:54pm
d