global

Mangsa kritikal mula pulih

Oleh AFP

CHRISTCHURCH: Ketika terbaring di luar masjid dalam keadaan berlumuran darah akibat tembakan yang menembusi dadanya, seorang mangsa Abbas Tahir Endrise sukar untuk bercakap sambil memikirkan ia mungkin panggilan telefon terakhir kepada isterinya yang hamil.

Bagaimanapun, semangat pasukan perubatan di Christchurch berjaya menyelamatkan lelaki berusia 31 tahun itu yang dilihat sudah boleh bernafas dan memicit tangan isterinya, Zeynia Endrise, 34, berbanding dua hari lalu ketika keadaannya dilaporkan kritikal di unit rawatan rapi.

Abbas adalah salah seorang daripada 31 mangsa yang cedera selepas seorang pengganas, Brenton Tarrant melepaskan tembakan rambang di dua masjid pada Jumaat lalu, lapor AFP.

Dia berdiri di saf hadapan dalam Masjid al Noor sebelum pengganas itu menyerbu masuk melalui pintu berhampirannya dan melepaskan tembakan rambang, kata saksi, Abdul Kadir Ababora.

Dia terkena peluru yang menembusi bahagian kiri badan melalui rusuk hingga paru-parunya terkoyak sebelum menghubungi isterinya dan rebah.

Menurut Zeynia, dia terdengar suara suaminya bercakap dalam keadaan sesak nafas ketika menjawab panggilan telefon pada hari kejadian.

“Dia cuba menghubungi semula dan bercakap tetapi tidak boleh,” kata ibu yang bakal menyambut kelahiran anak kedua pada Jun ini.

Suaminya dilaporkan mula membuka mata petang semalam dan doktor juga sudah mencabut tiub pernafasan.

“Mereka sudah mencabut tiub pernafasan dan boleh bernafas seperti biasa. Dia membuka mata, melihat saya dan memegang tangan saya. Namun, dia masih belum boleh bercakap,” kata Zeynia.

Wanita itu berhijrah ke Christchurch pada 2010 dari Bahir Das, Ethiopia dan bekerja sebagai pencuci sebelum mendapat kerakyatan manakala suaminya berhijrah lima tahun selepas itu.

Zeynia berkata, tidak ada apa yang ingin dikatakan lagi kepada pengganas itu.

“Tidak ada apa yang ingin dikatakan. Ia tidak berperikemanusiaan. Ramai bayi terbunuh, tiga atau empat orang, ia amat tidak berperikemanusiaan. Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun meninggal dunia. Tiada kata-kata ingin diucapkan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Pembunuhan Christchurch
  • Disiarkan pada: March 18, 2019 @ 2:55pm
    d