global

Sebar mesej benci di Facebook, wanita akan didakwa

Oleh Agensi

CHRISTCHURCH: Seorang wanita dari bandar Masterton, New Zealand berdepan dakwaan mengikut Akta Hak Asasi Manusia selepas memuat naik mesej kebencian di Facebook mengenai kejadian serangan di dua masjid di Christchurch.

Polis berkata, wanita dipercayai berusia lewat 20 an itu boleh dihukum penjara maksimum tiga bulan atau denda NZ $7,000 (RM19,499) sekiranya didapati bersalah kerana menjejaskan keharmonian kaum, lapor NZHerald.

Sarjan Kanan, Jennifer Hansen berkata, mesej yang dimuat naik wanita itu melukakan hati orang lain kerana ia merujuk kepada kejadian di Christchurch pada Jumaat lalu.

Katanya, ia sempat dibaca oleh beberapa orang yang bimbang dengan keadaan itu sebelum mesej terbabit segera dipadam.

Dakwaan boleh dikenakan terhadap mana-mana individu yang menjejaskan keharmonian kaum dengan menerbit atau mengedarkan tulisan yang dianggap mengancam, mengejek dan menghina orang lain berdasarkan warna kulit, bangsa, etnik atau tempat asal.

Kelmarin, seorang remaja berusia 18 tahun dituduh di mahkamah atas kesalahan berkongsi video siaran langsung kejadian tembakan rambang di dua masjid itu.

  • Lagi berita berkaitan Pembunuhan Christchurch
  • Disiarkan pada: March 20, 2019 @ 11:44am
    d