global

Rancang, berlatih di Dunedin sebelum serang

Oleh Agensi

CHRISTCHURCH: Pengganas yang didakwa menembak mati 50 orang di dua masjid pada Jumaat lalu, menetap di bandar Dunedin, New Zealand hampir tiga tahun untuk melakukan ‘persiapan’ dan ‘berlatih’ sebelum melakukan serangan ganas terbabit.

Ia disebutkan dalam manifestonya setebal 74 muka surat yang bertajuk ‘The Great Replacement’.

Lelaki berusia 28 tahun itu dikatakan sengaja memilih untuk tinggal di bandar terbabit yang mempunyai kepelbagaian etnik yang kurang apabila 88.3 peratus penduduk berasal dari Eropah.

Bagaimanapun, menurut manifesto itu, ‘New Zealand bukan sasaran asal untuk diserang’.

“Saya datang ke New Zealand untuk tinggal sementara bagi membolehkan saya membuat rancangan dan berlatih.

“Kemudiannya, saya dapati New Zealand adalah sasaran yang kaya dengan persekitaran seperti juga di negara lain di Barat,” tulisnya dalam manifesto itu.

Manifesto itu menyebut, masjid Masjid al Huda di Dunedin adalah sasaran pertama pengganas terbabit dan lokasinya paling dekat dari tempat tinggalnya.

Serangan terhadap masjid itu mungkin mengakibatkan jumlah kematian lebih ramai kerana ia mempunyai satu ruang solat saja berbanding masjid al Noor yang mempunyai beberapa bilik untuk bersembunyi.

Dalam kejadian itu, beberapa orang dikatakan sempat melarikan diri namun kira-kira 30 mangsa terdiri daripada wanita dan kanak-kanak dipercayai terperangkap di ruang solat bersebelahan ketika pengganas membunuh rakan dan keluarga mereka.

  • Lagi berita berkaitan Pembunuhan Christchurch
  • Disiarkan pada: March 20, 2019 @ 12:59pm
    d