global

Polis Indonesia tembak perompak Russia

Oleh AFP

DENPASAR: Seorang penjenayah warga Russia ditembak mati selepas melakukan rompakan bersenjata di sebuah pejabat tukaran wang asing di Bali, Indonesia, dalam kejadian Selasa lalu.

Menurut pihak berkuasa, lelaki dikenali sebagai Alexei Korotkikh, 45, itu ditembak ketika bergelut dengan polis yang cuba menahannya bersama dua lagi suspek.

Sebelum itu, kumpulan penjenayah terbabit dipercayai memecah masuk pejabat dan membelasah beberapa pekerja hingga pengsan.

Mangsa yang sedar semula mendapati tangan diikat manakala mulut ditampal dengan pita pelekat tetapi berjaya melepaskan diri selepas itu dan segera menghubungi polis.

“Pegawai polis yang tidak bersenjata cuba melawan suspek namun situasi terlalu bahaya menyebabkan seorang lagi pegawai menembaknya hingga mati.

“Suspek warga Russia itu ditembak ketika bergelut dengan polis yang cuba menahannya. Dua lagi rakannya warga Ukraine dan Russia turut ditahan,” kata ketua polis Denpasar, Ruddi Setiawan.

Menurut kedutaan Russia, warga Russia yang ditahan itu mengalami kecederaan dan terdapat empat lagi individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian itu masih bebas namun tidak dapat dipastikan warganegara mereka.

Katanya, kumpulan itu juga dipercayai merompak sebuah lagi pejabat tukaran wang asing pada Disember lalu selain mencuri senjata dalam kejadian berasingan.

Disiarkan pada: March 22, 2019 @ 8:59pm
d