global

Mangsa letupan loji China meningkat 64 orang

Oleh AFP

BEIJING: Jumlah mangsa terkorban dalam letupan loji kimia di Yancheng, Khamis lalu meningkat kepada 64 orang.

AFP melaporkan, pasukan menyelamat menemui seorang mangsa terselamat hari ini, namun 28 orang lagi masih hilang.

Pihak berkuasa menerusi kenyataan di Weibo berkata, anggota bomba mengeluarkan seorang lelaki dalam lingkungan 40-an dari runtuhan kilang, awal pagi tadi.

Seramai 600 mangsa cedera sudah mendapatkan rawatan dengan 34 daripadanya dilaporkan kritikal dan 60 lagi parah.

CCTV memetik kenyataan Datuk Bandar Yancheng, Cao Lubao yang berkata, identiti mangsa terkorban dengan yang masih hilang sudah disahkan menerusi temu bual ahli keluarga mangsa, kunjungan rumah dan ujian DNA.

Loji terbabit dimiliki Tianjiayi Chemical dan syarikat terbabit pernah beberapa kali melanggar undang-undang berkaitan persekitaran.

Pada 2015 dan 2017, syarikat itu didenda selepas didapati bersalah melanggar peraturan pengurusan sisa pepejal dan air. - AFP

Disiarkan pada: March 23, 2019 @ 12:44pm
d