global

Hamas dakwa capai gencatan senjata

Oleh AFP

BANDAR GAZA: Hamas mendakwa satu gencatan senjata dicapai selepas tentera Israel melancarkan serangan udara di Semenanjung Gaza, semalam untuk membalas serangan roket Palestin yang terkena sebuah rumah di Tel Aviv.

Menurutnya, usaha damai itu ditaja Mesir susulan ketegangan yang berlaku kira-kira dua minggu sebelum pilihan raya Israel diadakan pada 9 April depan, lapor AFP.

Bagaimanapun, Israel tidak mengeluarkan sebarang komen berhubung perkara itu selepas serangan yang berlaku ketika Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu mengadakan pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di Washington.

“Usaha Mesir membawa kepada gencatan senjata antara penjajah dan pejuang ,” kata jurucakap Hamas, Fazwi Barhoum.

Serangan masih berlarutan selepas gencatan senjata itu diumumkan namun kembali reda sekitar tengah malam.

Malam semalam, tentera Israel memaklumkan mereka memulakan serangan itu dan salah satu serangan itu memusnahkan sebuah bangunan yang dipercayai menjadi pejabat keselamatan dan risikan Hamas.

Disiarkan pada: March 26, 2019 @ 10:59am
d