global

Dapat sumbangan daripada Tarrant

Oleh AFP

VIENNA: Penyiasat Austria menyerbu apartmen seorang pemimpin kumpulan berhaluan kanan kerana dikaitkan dengan penyerang dua masjid di New Zealand, baru-baru ini.

Martin Sellner dari Identitarian Movement Austria (IBOe) berkata dalam satu video dimuat naik pada lewat Isnin berkata, dia menerima sumbangan berkemungkinan daripada penyerang berkenaan, Brenton Tarrant.

Dia bagaimanapun menafikan sebarang kaitan dengan serangan pada 15 Mac lalu yang meragut 50 nyawa itu, sebaliknya menuduh Tarrant cuba mengaitkannya dengan membuat sumbangan berkenaan.

“Saya tiada kaitan dengan serangan pengganas itu,” katanya dalam video berkenaan dan menegaskan kumpulannya pergerakan antipendatang yang bergerak secara aman.

Katanya, dia tidak pernah berhubung dengan Tarrant tetapi menerima e-mel dengan sumbangan besar yang ‘luar biasa’ dengan nama penyerang itu, dan membalas dengan ucapan terima kasih seperti dilakukan dengan penderma lain. Menurutnya, ini berlaku sebelum serangan di New Zealand.

Susulan itu, pihak berkuasa merampas komputer dan telefonnya dalam serangan di apartmennya semalam di Vienna.

Pendakwa di Graz berkata, pihak berkuasa melihat e-mel dianggap meragukan itu ketika menyiasat sumbangan 1,500 euro (RM6,900) yang jauh melebihi jumlah sering didermakan kepada IBOe.

Disiarkan pada: March 26, 2019 @ 8:49pm
d