global

Semakin kembali tenang

Oleh Reuters

GAZA/BAITULMAQDIS: Pertempuran antara Israel dan Hamas berkurangan semalam, sehari selepas kedua-dua pihak berbalas serangan udara serta roket, susulan gencatan senjata yang dipersetujui lewat Isnin, namun ketegangan masih dirasai dengan tentera dikerahkan ke sempadan.

Amaran roket terus dibunyikan di pekan Israel berhampiran sempadan pada lewat Isnin selepas pihak berkuasa Palestin berkata, gencatan senjata dipersetujui dengan bantuan Mesir. Menjelang pagi semalam keadaan semakin reda.

Ketegangan tercetus pada Isnin lalu selepas tujuh rakyat Israel cedera berhampiran Tel Aviv akibat roket ditembak dari Semenanjung Gaza, 120 kilometer dari situ.

Beberapa jam kemudian, Israel yang menyalahkan Hamas atas kejadian berkenaan, melaksanakan serangan balas yang mencederakan lima orang Palestin.

Ketegangan terbaru ini hanya dua minggu menjelang pilihan raya yang menyaksikan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berusaha mengekalkan kuasa selepas sedekad dengan menggunakan pendirian tegas terhadap Palestin dalam kempennya.

Israel tetap dalam keadaan berjaga-jaga semalam dengan sekolah berhampiran sempadan ditutup selain penduduk diarahkan duduk berhampiran pusat perlindungan bom.

Di Gaza, beberapa universiti ditutup tetapi sekolah awam dibuka, walaupun kebanyakan ibu bapa tidak membenarkan anak mereka bersekolah.

Mohammad Sayed, 40, berkata: “Kami tidak mahukan perang, tetapi kalau itu dimahukan Israel apa yang boleh kami buat? Kami berharap Mesir berjaya mencapai persetujuan untuk menamatkan semua ini.”

Disiarkan pada: March 27, 2019 @ 10:05am
d