global

Bebola dalam anu

Oleh Agensi

BEIJING: Doktor terkejut apabila mendapati seorang budak lelaki 11 tahun di Hangzhou, tenggara China, memasukkan 70 bebola magnet ke dalam kemaluannya.

Menurut laporan South China Morning Post yang memetik City Express, kanak-kanak itu mengalami sakit perut Ahad lalu, dan dibawa ke Hospital Kanak-Kanak Universiti Zhejiang di Hangzhou.

Imbasan x-ray mendapati ada bebola besi dalam pundi kencingnya dan doktor melakukan pembedahan selama dua jam untuk mengeluarkan bebola terbabit sebelum terkejut apabila mendapati jumlahnya adalah 70 biji.

“Bebola magnet itu melekat antara satu sama lain menyebabkan kami boleh mengambil dua atau tiga bebola dalam satu-satu masa.

“Selepas mengeluarkan kira-kira 50 bebola, bebola yang berbaki membentuk barisan, memudahkan kami mengeluarkan semuanya sekali gus,” kata pakar bedah di hospital itu, Tao Chang.

Menurutnya, kanak-kanak itu memberitahu dia memasukkan bebola terbabit ke dalam kemaluannya kerana ‘ingin tahu’.

Bebola magnetik disukai kanak-kanak di China dan dijual dengan harga AS$10 (RM40.80) untuk 200 biji dalam satu pek.

Tao berkata, doktor di kebanyakan hospital turut menghadapi kes serupa setiap tahun, seperti kanak-kanak lelaki berusia antara 10 hingga 15 tahun memasukkan kabel elektrik, jarum dan besi pengorek telinga ke dalam kemaluan.

“Zakar kanak-kanak lelaki boleh dimasuki objek bergaris pusat antara tujuh hingga lapan milimeter,” katanya.

Disiarkan pada: March 29, 2019 @ 10:34pm
d