global

Wajah comel, badan 'sado'

Oleh Agensi

SEOUL: Apabila melihat wajah comel Yeon-woo Jhi ini mungkin ramai tidak menyangka wanita ini sebenarnya ahli bina badan profesional yang berbadan sasa.

Mempunyai wajah yang comel dan berbadan sasa menjadikan Yeon-woo popular di media sosial hingga digelar `Barbie Sasa’.

Yeon-woo, 34, memberitahu, ketika remaja dia seorang yang berbadan sangat kurus, sering keletihan, gemuruh dan tidak suka memuat naik gambarnya di media sosial.

Bagaimanapun, semuanya berubah kira-kira 14 tahun lalu apabila dia mula bersenam di sebuah gimnasium berhampiran rumahnya.

Pada mulanya, dia hanya mahu menjadi cergas dan tidak pernah terfikir untuk menyertai pertandingan bina badan bertaraf antarabangsa.

Apabila kekuatan dan kecergasannya bertambah, Yeon-woo mula serius dengan sukan bina badan sebelum memutuskan untuk menyertai pertandingan.

Dia menjadi juara dalam pertandingan bina badan Arnold Classic Europe Amateur pada 2013 sebelum menjadi profesional pada 2015.

Yeon-woo menyertai beberapa pertandingan bina badan sejak 10 tahun lalu tetapi baru beberapa tahun menjadi popular di Instagram kerana memiliki wajah yang jelita.

“Pada mulanya saya mengangkat berat hanya sekadar hobi dan saya dicabar untuk memasuki pertandingan bina badan dan saya menjadi juara. Sejak itu saya terus menyertai beberapa pertandingan lagi,” katanya kepada majalah Oxygen Magazine.

Disiarkan pada: March 31, 2019 @ 1:42pm
d