global

Sekolah tutup susulan laporan tembakan

Oleh sAgensi

WELLINGTON: Polis bersenjata berunding dengan seorang lelaki yang mengunci dirinya dalam rumah selepas menerima laporan tembakan di Auckland Barat, hari ini.

NZ Herald melaporkan, polis menerima laporan satu tembakan dilepaskan di kawasan Glen Eden kira-kira jam 10 pagi.

Polis berkata, skuad khas dihantar ke lokasi sebagai langkah keselamatan dan beberapa laluan turut ditutup.

Sebuah sekolah rendah dan pusat penjagaan kanak-kanak berhampiran ditutup sementara waktu sebelum beroperasi semula selepas tengah hari.

Maklumat lanjut mengenai kejadian itu belum didedahkan dan siasatan masih diteruskan.

Penduduk Richard Ramage memberitahu NZ Herald lelaki itu mengunci dirinya dalam rumah dan enggan menyerah diri kepada polis.

Sekolah kini dalam langkah berjaga-jaga susulan kejadian tembakan rambang di dua masjid Christchurch.

Minggu lalu, tiga sekolah di Avondale, Auckland ditutup berikutan dakwaan seorang lelaki membawa senjata api di kawasan berkenaan.

Disiarkan pada: April 3, 2019 @ 10:52am
d