global

Lelaki jahanamkan bulan madu sendiri

Oleh Agensi

LONDON: Seorang lelaki merosakkan percutian bulan madu ke Mesir dengan isterinya selepas menumbuk dua pramugara yang meminta dia berhenti menghisap rokok elektronik dalam pesawat, baru-baru ini.

Susulan itu, mahkamah hari ini menjatuhkan hukuman penjara tujuh bulan terhadap Michael Cunnett yang turut diarahkan membayar pampasan sebanyak 500 pound (RM2,688) kepada mangsa.

Dalam kejadian pada Februari lalu, Cunnett, 38, minum empat gelas arak sebelum menaiki penerbangan easyJet pada jam 9 pagi di lapangan terbang Gatwick.

Pendakwa Ryan Richter berkata, pesalah didapati bercakap dalam nada tinggi dan mengamuk apabila pramugara meminta dia tidak menghisap rokok elektronik dalam pesawat.

Cunnett yang berasal dari Epsom kemudian menumbuk dua pramugara dan dibawa keluar dari pesawat oleh polis.

Daily Mail melaporkan, isteri Cunnett didengari menjerit ‘tengok apa awak lakukan! Awak sudah merosakkan bulan madu kita!’

Pesalah turut menghina seorang anggota polis, seterusnya menanduk kepalanya pada palang pemisah kereta polis sehingga pengsan.

Hakim David Rennie menggambarkan Cunnett bersikap keanak-anakan dan empat gelas arak yang diteguknya menunjukkan perangai sebenarnya.

Disiarkan pada: April 3, 2019 @ 3:39pm
d