global

Tak sempat masuk Malaysia

Oleh AFP

Dhaka: Polis Bangladesh menghalang cubaan 115 pelarian Rohingya menyeludup masuk ke Malaysia melalui bot nelayan tetapi tiada penyeludup ditahan dalam operasi itu, kata pihak berkuasa, semalam.

AFP melaporkan, pelarian dari kem Kutupalong berhampiran sempadan Bangladesh dengan Myanmar, penempatan pelarian terbesar di dunia itu ditahan ketika bergerak ke bot terbabit di Teluk Benggala.

Operasi pada lewat Jumaat lalu, adalah yang terbaru membabitkan cubaan pelarian Rohingya meninggalkan kem penempatan berkenaan untuk memasuki Malaysia.

“Kami menghentikan konvoi 15 beca motosikal dan menyelamatkan 50 lelaki, 39 wanita dan 26 kanak-kanak tetapi kami tidak dapat menangkap mana-mana penyeludup,” kata pegawai polis Bangladesh, Anwar Hossain kepada AFP.

Pegawai itu berkata, pelarian Rohingya itu dipercayai sudah membayar wang kepada penyeludup dan mereka akan dibawa balik ke kem semula.

Kira-kira 740,000 etnik minoriti Islam Rohingya melarikan diri dari Myanmar ke Bangladesh berikutan kekejaman pihak tentera negara itu pada Ogos 2017.

Mereka menyertai 300,000 penduduk Rohingya yang sejak awal mendiami kem pelarian sesak di Cox’s Bazar berikutan serangan sebelumnya.

Ribuan lagi mempertaruhkan nyawa mereka ke Malaysia dan Thailand dengan menaiki bot ketika cuaca tenang di sekitar Teluk Benggala sebelum musim tengkujuh tiba pada akhir Mac.

Sehingga tahun ini, pasukan keselamatan Bangladesh sudah menghalang lebih 300 pendatang Rohingya yang cuba melarikan diri menggunakan bot nelayan, yang menurut pakar tidak selamat untuk kegunaan di laut dalam.

Kumpulan yang ditahan semalam adalah yang ketiga cubaan melarikan diri ke Malaysia dalam minggu ini.

Disiarkan pada: April 7, 2019 @ 6:01am
d