global

Tebusan Abu Sayyaf lemas ketika larikan diri

Oleh AFP

Manila: Seorang nelayan Indonesia yang diculik kumpulan militan Abu Sayyaf selama empat bulan di Filipina dilaporkan mati lemas ketika melarikan diri manakala dua lagi tebusan berjaya diselamatkan, kata jurucakap tentera, semalam.

AFP melaporkan, semua tebusan ditahan di sebuah pulau terpencil di Mindanao yang dikepung tentera Filipina hampir enam minggu dalam usaha menangkap penculik berkenaan.

Ketiga-tiga lelaki itu diculik ketika menangkap ikan pada awal Disember tahun lalu.

Jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Gerry Besana berkata, kumpulan militan Abu Sayyaf itu cuba melarikan diri dari pulau Simusa dengan membawa semua tebusan kelmarin.

“Seorang tebusan, Heri Ardiansyah berjaya diselamatkan ketika kumpulan militan itu cuba melarikan diri tetapi rakannya, Hariadin mati lemas.

“Seorang lagi tebusan dari Malaysia, Jari Abdullah berjaya diselamatkan sehari lebih awal oleh tentera Filipina dan kini berada dalam keadaan stabil selepas cedera ditembak,” katanya.

Ujarnya, pulau itu dikepung sejak 41 hari lalu. Penculik mungkin menyangka mereka boleh melarikan diri dengan berenang.

Tiga daripada sekurang-kurangnya tujuh penculik itu terbunuh dalam operasi berkenaan.

Besana berkata, pihak tentera menerima maklumat berhubung lokasi tebusan terbabit pada akhir Februari lalu dan mengarahkan sekumpulan kecil penduduk yang mendiami kawasan itu untuk berpindah.

Disiarkan pada: April 7, 2019 @ 7:01am
d