global

Penerbangan terakhir dari Ataturk jadi sejarah

Oleh Reuters

ISTANBUL: Penerbangan komersial terakhir berlepas dari Lapangan Terbang Ataturk, di sini, semalam dan konvoi trak menghantar beribu-ribu tan peralatan merentasi bandar ke lapangan terbang baharu gergasi yang dirancang Turki sebagai lapangan terbesar di dunia.

Pemindahan besar-besaran antara dua hab itu, disifatkan oleh pihak berkuasa Turki sebagai sesuatu yang belum pernah berlaku dalam skala dan kecepatan, apabila sebahagian besarnya lengkap lebih kurang 24 jam selepas ia mula beroperasi semalam.

Lapangan terbang baharu Istanbul, berharga kira-kira AS$8 bilion (RM32.72 bilion) dan satu daripada beberapa projek mega diterajui Presiden Recep Tayyip Erdogan, pada mulanya berupaya mengendalikan 90 juta penumpang setahun, hampir dengan keupayaan lapangan terbang terbesar sedia ada dunia.

Kerajaan bercadang memperluaskannya sehingga 200 juta penumpang.

Ratusan trak mengangkut peralatan seperti kenderaan menunda pesawat dan pengesan keselamatan dari Ataturk, terletak di pantai Laut Marmara, sejauh 30 kilometer ke utara lapangan terbang baharu mengadap Laut Hitam.

Menjelang Sabtu, lebih 90 peratus perpindahan itu selesai, kata eksekutif Turkish Airlines, Yahya Ustun.

Penerbangan penumpang komersil terakhir dari Ataturk berlepas ke Singapura semalam, pelepasan bersejarah bagi Menteri Pengangkutan Mehmet Turhan.

Disiarkan pada: April 7, 2019 @ 10:59am
d