global

Penunjuk perasaan maut di Sudan

Oleh Agensi

KHARTOUM: Seorang penunjuk perasaan maut ketika menyertai protes di Omdurman, Sudan, manakala ribuan lagi mengadakan tunjuk perasaan di Khartoum, semalam.

AFP melaporkan, jurucakap Jeneral Hashim Abdelrahim berkata: “Berlaku perhimpunan haram di Khartoum dan di beberapa tempat lain,” katanya kepada agensi berita rasmi SUNA.

Jawatankuasa doktor yang membantu menganjurkan protes terbabit mengesahkan penunjuk perasaan yang maut itu adalah seorang pegawai perubatan.

Angka kematian dalam keganasan protes sejak Disember tahun lalu kini mencecah sehingga 32 orang, kata sumber rasmi.

Human Rights Watch pula melaporkan, angka kematian itu berjumlah 51 orang termasuk kanak-kanak dan anggota perubatan.

Reuters melaporkan, kejadian berlaku apabila pasukan keselamatan Sudan melepaskan gas pemedih mata ketika cuba meleraikan ribuan penunjuk perasaan yang berkumpul di kediaman Presiden Omar al-Bashir di Khartoum, semalam.

Beberapa saksi berkata, ia adalah tunjuk perasaan terbesar menuntut pemerintah yang berkuasa sejak 30 tahun lalu itu disingkirkan, setakat ini.

Disiarkan pada: April 7, 2019 @ 12:53pm
d