global

'Nak lari konon...' [VIDEO]

Oleh Agensi

BEIJING: Seorang perompak terpaksa menyerah diri kepada pegawai polis apabila cubaannya untuk melarikan diri menemui jalan buntu selepas terperangkap di luar tingkat 22 sebuah bangunan di China.

Daily Mail melaporkan, suspek terbabit diburu polis kerana dipercayai merompak sebuah kedai dengan mengacukan pisau kepada pemiliknya di Yiyang, wilayah Hunan pada 24 Mac lalu.

Mangsa kerugian sebanyak 10,000 yuan (RM1,323) selepas suspek melarikan kad bank dan mengeluarkan wangnya, lapor Jiangsu Broadcasting Corporation.

Satu rakaman video menunjukkan saat cemas itu apabila suspek kelihatan cuba mengimbangi badannya di birai tingkap sambil menjerit ketakutan sebaik menyedari cubaannya melarikan diri daripada polis ternyata gagal.

Dia menyerah diri dan diselamatkan polis beberapa minit kemudian.

Polis berkata, lelaki terbabit pernah dipenjara selama tiga tahun atas kesalahan sama yang dilakukan pada 2003 sebelum dihantar ke pusat pemulihan selama tiga bulan kerana ditahan mengambil dadah.

Disiarkan pada: April 8, 2019 @ 8:31pm
d