global

Perompak melarikan jutaan euro dari pesawat

Oleh AFP

TIRANA: Polis Albania menahan empat individu dan menyoal siasat 40 lagi, semalam selepas perompak bersenjata melarikan jutaan euro dari pesawat Austria Airlines.

AFP melaporkan, beberapa lelaki bersenjata menceroboh masuk ke landasan lapangan terbang Tirana semalam dan mencuri wang yang sepatutnya dihantar ke sebuah bank di Vienna, Austria.

Polis berkata, bank asing yang beroperasi di negara itu menghantar mata wang ke Vienna kerana bank pusat Albania tidak menerima deposit seperti itu.

Dalam kejadian itu, salah seorang perompak terbunuh ketika tembak menembak tercetus antara polis.

Perompak memasuki landasan lapangan terbang menggunakan pagar untuk bomba.

Kata polis, tiga perompak bersenjata berpakaian tentera mengugut kakitangan yang menguruskan bagasi.

Menurut laporan awal, jumlah wang dicuri sekitar 2.5 juta euro (RM11.53 juta), namun media tempatan mendakwa jumlah sebenar mungkin lima kali ganda lebih tinggi.

Sementara itu, jurucakap Austrian Airlines, Tanja Gruber berkata, rompakan berlaku ketika wang dipindahkan dan penumpang mula memasuki pesawat.

Terdapat sekurang-kurangnya dua percubaan rompakan di lapangan terbang Tirana sejak tiga tahun lalu.

Disiarkan pada: April 10, 2019 @ 11:17am
d