global

Indonesia siasat 20,000 kertas undi di Selangor

Oleh AFP

JAKARTA: Indonesia sudah menghantar pasukannya untuk menyiasat dakwaan penemuan 20,000 kertas undi pilihan raya negara itu di Malaysia.

Kertas undi itu ditemui di dua lokasi berhampiran Kuala Lumpur dan kebanyakannya didapati sudah ditanda untuk calon Presiden Indonesia Joko Widodo, lapor AFP.

Ketua Suruhanjaya Pilihanraya Umum (KPU), Arief Budiman berkata, isu terbabit adalah sensitif kerana berlaku di luar negara dan pihaknya akan melakukan siasatan dengan teliti.

Agensi Penyeliaan Pilihan Raya Indonesia (BAWASLU) mengesahkan penemuan itu selepas rakaman video serbuan di sebuah premis kosong di Selangor dan pemeriksaan beberapa beg mengandungi kertas undi ditanda dimuat naik di media sosial.

Satu video di lokasi berasingan memperlihatkan dua wanita menebuk lubang pada kertas undian.

Bagaimanapun, BAWASLU berkata, kesahihan kertas undian itu belum dikenal pasti dan kes itu masih disiasat.

Undian baru-baru ini menunjukkan Widodo, 57, mendahului pencabarnya Prabowo Subianto yang adalah bekas jeneral tentera.

Lebih 190 juta rakyat Indonesia akan mengundi pada Rabu depan dengan kira-kira dua juta pemilih berdaftar layak mengundi menetap di luar negara.

Di Malaysia, sekitar satu juta penduduk Indonesia akan membuang undi di lebih 200 pusat mengundi pada Ahad ini.

Disiarkan pada: April 12, 2019 @ 5:30pm
d