global

Pramugara dipenjara seludup dadah

Oleh Agensi

KUALA LUMPUR: Seorang pramugara Malaysia Airlines (MAS) yang ditahan menyeludup heroin seberat 3.5 kilogram memasuki Melbourne, Australia tahun lalu dijatuhkan hukum penjara lima tahun enam bulan.

Fariq Aqbal Omar, 34, boleh dibebaskan dengan parol dalam tempoh tiga tahun kerana berkelakuan baik.

ABC News memetik mahkamah Victoria melaporkan Fariq membawa dadah itu dalam pesawat dari Kuala Lumpur ke Melbourne pada Mei tahun lalu untuk diserahkan kepada bekas rakan sekerja dan seorang lelaki yang menjanjikan bayaran 500 dolar Australia (RM1,476).

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lapangan terbang Melbourne menampakkan kocek seluar dan ves dipakai Fariq membonjol yang kemudian didapati adalah 10 bungkus heroin.

Pramugara itu meletakkan bungkusan terbabit dalam bagasinya di sebuah bilik air sebelum beredar dari terminal menaiki sebuah bas dengan anak kapal lain.

Pegawai Angkatan Sempadan Australia kemudian mengarahkan anak kapal untuk kembali semula ke tempat bagasi.

Fariq cuba menyembunyikan dadah itu dalam koceknya dan mendakwa bungkusan terbabit mengandungi tembakau haram atau shisha.

Isteri Fariq turut menghadiri perbicaraan rayuan dan ketika hukuman dijatuhkan, namun mahkamah diberitahu wanita itu mungkin tidak dapat mengunjungi suaminya lagi sehingga dibebaskan dari penjara.

Disiarkan pada: April 12, 2019 @ 11:30pm
d