global

Bapa Assange mohon Australia bawa anaknya pulang

Oleh AFP

SYDNEY: Bapa kepada pengasas WikiLeaks Julian Assange meminta kerajaan Australia untuk membawa pulang anak lelakinya, selepas terkejut melihat keadaan anaknya yang ditahan di London minggu lalu.

John Shipton dilaporkan melawat Assange setiap kali Krismas di kedutaan Ecuadore di London selepas dia mendapat perlindungan di sana pada 2012.

“DFAT (Jabatan Hal Ehwal Luar Negeri) dan perdana menteri seharusnya dapat melakukan sesuatu.

“Terdapat beberapa perbincangan dalam pertemuan antara senator dan pegawai kanan DFAT untuk mengekstradisi Julian ke Australia,” kata Shipton kepada The Herald Sun di Melbourne.

Shipton berkata dia terkejut melihat keadaan anaknya ketika dia ditangkap di kedutaan itu pada Khamis lalu atas tuduhan melepaskan ikat jamin, dan waran ekstradisi Amerika Syarikat berkaitan kebocoran besar dokumen rasmi.

“Mereka menyeretnya ke tangga, polis itu, dia tidak kelihatan baik. Saya berusia 74 dan saya nampak lebih baik daripada dia dan dia 47. Ini sesuatu yang mengejutkan.

“Selama berbulan-bulan dia hidup seperti banduan dengan kawalan keselamatan tinggi, malah dia tidak boleh pergi ke tandas. Terdapat banyak kamera memerhatikan langkahnya,” katanya.

Perdana Menteri Australia, Scott Morrison, berkata Assange tidak akan menerima layanan khas dari Canberra.

Disiarkan pada: April 14, 2019 @ 3:28pm
d