global

Batal 115 penerbangan Boeing 737 MAX

Oleh AFP

WASHINGTON: American Airlines mengumumkan akan membatalkan 115 penerbangan sehari mulai bulan depan susulan keputusan syarikat itu menggantung pesawat Boeing 737 MAX sehingga 19 Ogos depan.

Syarikat penerbangan utama Amerika itu sebelum ini hanya bercadang untuk tidak menggunakan khidmat pesawat itu sehingga 5 Jun, ketika Boeing berdepan masalah selepas 157 penumpang dan anak kapal terkorban membabitkan pesawat Ethiopian Airlines 737 MAX pada 10 Mac lalu, kemalangan kedua membabitkan pesawat jenis itu dalam tempoh lima bulan.

Pesawat 737 MAX itu mula dilarang beroperasi sejak pertengahan Mac lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) American Airlines, Doug Parker, berkata semua 115 penerbangan ini mewakili kira-kira 1.5 peratus jumlah setiap hari penerbangan pada musim panas.

“Berdasarkan kerjasama kami dengan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dan Boeing, kami sangat yakin MAX akan diperbaharui sebelum 19 Ogos depan.

“Dengan memanjangkan tempoh pembatalan sepanjang musim panas, membolehkan kami merancang dengan lebih baik penerbangan ketika musim puncak dan memberi keyakinan kepada pelanggan serta kakitangan dalam merancang penerbangan.

“Sebaik saja MAX bersedia, kami akan membawa kembali pesawat MAX sebagai tambahan kepada operasi yang diperlukan ketika musim panas,” katanya dalam satu kenyataan.

Awal minggu ini, pesaing syarikat itu, Southwest Airlines berkata, operasi 34 pesawat jenis yang sama hanya akan beroperasi mulai 5 Ogos.

Disiarkan pada: April 15, 2019 @ 11:27am
d