global

Hari penentuan

Oleh Agensi

LEBIH 190 juta rakyat Indonesia akan mengundi esok, bagi memilih presiden baru dan wakil masing-masing, daripada jawatan kuasa kampung hinggalah ke Parlimen membabitkan lebih 245,000 calon.

Persaingan antara Presiden Joko Widodo atau Jokowi dengan bekas jeneral tentera Prabowo Subianto amat sengit namun penganalisis meletakkan Jokowi masih mendahului dengan dua mata.

Pasukan kempen Prabowo sudah memberi amaran jika tewas, mereka akan mencabar keputusan menggunakan kes pemalsuan pengundian.

Pengundian bermula jam 7 pagi waktu tempatan di lebih 800,000 pusat mengundi dengan lebih 193 juta pengundi menebuk lubang pada kertas undi di 34 wilayah memilih lebih 245,000 calon daripada 16 parti politik untuk 20,000 kerusi di Dewan Perwakilan (Parlimen), perbandaran dan wilayah sebelum mencelup jari ke dalam dakwat yang disahkan halal.

Kira-kira enam juta pegawai pilihan raya bertugas pada hari pengundian yang diisytiharkan cuti umum. Agensi pilihan raya membelanjakan 24.8 trilion rupiah (RM7.4 bilion).

‘Kiraan cepat’ dijangka memberi keputusan awal siapa memenangi Pilihan Raya Presiden (Pilpres) dan ribuan calon lain yang bertanding dalam Pemilihan Umum (Pemilu). Keputusan rasmi hanya akan diketahui Mei ini.

Hampir semua tinjauan menunjukkan Jokowi, 57, mendahului Prabowo, 67, iaitu ulangan pertembungan kedua-dua mereka seperti pada 2014 yang dimenangi Jokowi walaupun keputusan dicabar di mahkamah.

Kempen Jokowi mengemukakan infrastruktur, termasuk penyediaan jalan raya dan lapangan terbang di negara yang mempunyai 17,000 pulau itu.

Sistem MRT pertama di Jakarta yang memulakan operasi baru-baru ini dianggap kejayaan besar Jokowi mengotakan janji-janjinya.

Beliau juga memperbaiki skim pembangunan sosial dan kesihatan rakyat, termasuk pemberian bantuan kewangan kepada penduduk luar bandar.

Bagi mengimbangi pembangunan sekular dengan Islam, Jokowi memilih ulama Ma’ruf Amin sebagai calon naib presiden.

Jokowi, adalah pengeksport perabot ketika terpilih sebagai gabenor Jakarta pada 2012 selepas menjadi Datuk Bandar Solo.

Dibesarkan dalam pondok buluh di kawasan setinggan tepi sungai, Jokowi meminati kumpulan Metallica membuktikan rakyat muak dengan calon dari golongan elit.

Kemenangan Jokowi pada 2014 dianggap detik bersejarah menamatkan pemerintahan dinasti sejak era Suharto dan Sukarno sebelum itu.

Buat pertama kali, presiden Indonesia adalah orang kebanyakan, bukannya dari jeneral tentera yang sebelum itu amat berpengaruh dalam politik Indonesia.

Prabowo yang bertanding bersama ahli perniagaan terkemuka sebagai calon naib presiden Sandiaga Uno, 49, menjanjikan menambah bajet untuk tentera dan pertahanan serta mengkaji semula pelaburan China.

Bekas jeneral dan bekas suami kepada salah seorang anak Suharto berusaha meraih jawatan tertinggi dalam kerajaan sejak 15 tahun lalu, termasuk bertanding sebagai naib presiden pada 2009 namun tewas.

Sejarah hitam ketika menjadi jeneral serta kaitan dengan keluarga Suharto mungkin menjadi punca kegagalannya.

Prabowo mengarahkan penculikan akvitis demokrasi ketika penghujung kejatuhan pemerintahan Suharto pada 1998 dan didakwa melakukan keganasan di Timor Timur. Beliau disingkirkan dari tentera berikutan tuduhan penculikan itu.

Kali ini, Prabowo menggambarkan dirinya sebagai pembela negara yang akan memperkukuh pertahanan, menuduh Jokowi ‘menjual’ negara kepada negara asing, termasuk China.

Beliau menjalin hubungan baik dengan pertubuhan Islam dan walaupun amat kaya, Prabowo mengecam golongan elit mendakwa mereka menekan dan memperguna penduduk miskin.

Calon naib presidennya, Sandiaga Uno yang dilapor membelanjakan kira-kira AS$100 juta (RM411 juta) untuk kempen, popular dalam kalangan generasi muda dan suri rumah.

Disiarkan pada: April 16, 2019 @ 10:45am
d