global

Ahli politik baling al-Quran cetus protes ganas

Oleh Agensi

Tindakan seorang ahli politik anti-Islam membaling al-Quran ke udara di Noerrebro, Denmark, mencetuskan protes ganas di bandar Copenhagen apabila puluhan penunjuk perasaan yang berang, membakar kenderaan dan tong sampah.

Daily Mail melaporkan, Rasmus Paludan melakukan perbuatan keji itu beberapa kali ketika mendesak kerajaan mengharamkan kemasukan umat Islam ke negara terbabit.

Tindakan provokasi melampau itu mengundang kekecohan di beberapa kawasan di ibu kota Denmark menyebabkan ahli politik itu turut dilempar batu oleh kumpulan penunjuk perasaan.

Polis yang cuba mengawal keadaan itu terpaksa melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan mereka sebelum menahan 23 penunjuk perasaan.

Pihak berkuasa turut mengeluarkan arahan kepada orang ramai supaya tidak mendekati kawasan protes terbabit.

Paludan yang juga pengasas parti Stram Kurs atau Hard Line turut mengeluarkan kenyataan negara itu sepatutnya didiami rakyat tulen Denmark.

Katanya, rakyat tulen itu sepatutnya sama ada mereka yang dilahirkan sebagai orang Denmark atau dijadikan anak angkat sejak bayi serta bertutur dalam bahasa mereka.

Perdana Menteri, Lars Loekke Rasmussen menyifatkan tindakan ahli politik itu sebagai provokasi yang sia-sia dan menggesanya melontarkan hujah, bukannya mencetuskan keganasan.

“Saya dengan keras menolak tindakannya yang dilihat langsung tidak ada tujuan lain selain mencetuskan keganasan.

“Lontarkan hujah, bukan mencetuskan keganasan. Pelihara demokrasi dan hak kebebasan bersuara. Jangan menghina kumpulan tertentu di Denmark dan meruntuhkan perpaduan,” tulisnya di akaun Twitter.

Tahun lalu, menteri imigresen kerajaan itu dikecam selepas menghina umat Islam yang berpuasa pada bulan Ramadan dan mendakwa ia mengancam keselamatan terhadap beberapa pekerjaan.

Ia selepas menteri perpaduan, Inger Stoejberg memberi kebenaran kepada mereka yang berpuasa supaya mengambil cuti untuk mengelakkan kesan negatif terhadap masyarakat Denmark.

Disiarkan pada: April 17, 2019 @ 9:11am
d