global

Lebih 50 artis, selebriti bertanding

Oleh Agensi

LEBIH 50 artis dan selebriti, termasuk ahli sukan bertanding calon Pilihan Raya Umum (Pemilu) Indonesia yang berlangsung hari ini sebagai salah satu strategi parti bertanding untuk menarik pengundi.

Antara mereka ialah penyanyi terkenal Krisdayanti, pemain badminton yang memenangi pingat emas Sukan Olimpik Atlanta, Ricky Subagja, anak lelaki bekas Presiden Suharto yang disabitkan membunuh hakim dan penyanyi kumpulan Seventeen yang kematian isteri ketika tsunami di Palu.

Selepas berjaya sebagai penyanyi terkenal dan juga pelakon, Krisdayanti buat pertama kali menyertai politik bertanding atas tiket Parti Demokratik Indonesia - Perjuangan (PDI-P).

Krisdayanti akan bertanding merebut kerusi Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) atau Parlimen untuk daerah Jawa Timur V meliputi Kabupaten Malang, Kota Malang dan Kota Batu.

Penyanyi itu berkata, dia menyertai politik untuk membawa suara rakyat.

Vokalis kumpulan Seventeen, Riefian Fajarsyah turut mengumumkan bertanding apabila mewakili Parti Kebangkitan Bangsa untuk kawasan Parlimen Kalbar I.

Riefian atau lebih dikenali sebagai Ifan Seventeen kehilangan isterinya dalam tragedi tsunami di Banten tahun lalu.

Parti Demokrat pula tidak mahu ketinggalan apabila menamakan legenda badminton Indonesia, Ricky Subagja sebagai calon DPR di daerah Jawa Barat.

Ricky yang bergandingan dengan Rexy Mainaky dianggap antara pasangan regu terbaik dunia apabila memenangi lebih 30 kejuaraan dunia termasuk pingat emas Sukan Olimpik Atlanta 1996 dan juara beberapa kali Piala Thomas.

Sementara itu, anak lelaki bekas diktator Indonesia, Suharto yang penuh kontroversi turut bertanding untuk kerusi DPR di Papua.

Hutomo Mandala Putra atau lebih dikenali Tommy Suharto hanya menjalani hukuman penjara empat tahun kerana mengupah pembunuh upahan untuk membunuh hakim Mahkamah Agung yang menjatuhkan hukuman penjara terhadapnya atas kesalahan rasuah.

Dia juga adalah bekas pelumba kereta dan terkenal dengan gaya hidup ‘Playboy’ serta gemar memandu kereta mewah.

Disiarkan pada: April 17, 2019 @ 10:48am
d