global

Berita palsu pilihan raya Indonesia berleluasa

Oleh AFP

JAKARTA: Ketika jutaan rakyat Indonesia membuat pilihan menentukan siapa presiden mereka, media sosial dibanjiri pelbagai berita palsu mengenai kedua-dua calon, Joko Widodo atau Jokowi dan pesaingnya, Prabowo Subianto.

Antara berita palsu yang tersebar ialah sebuah blog memetik pegawai tertinggi agensi pilihan raya Indonesia, kononnya rakan dagang terbesar Indonesia, China akan menghulurkan bantuan wang untuk membaiki peti undi yang rosak menjelang pilihan raya itu.

Hantaran palsu itu dibuat dengan mengubah isi kandungan asal laporan berita sahih dan dikongsi ratusan kali oleh netizen di Facebook.

Selain itu, terdapat beberapa hantaran dimuat naik di Facebook mendakwa keputusan undi di luar negara yang memihak Prabowo Subianto. Ia ternyata palsu kerana jumlah undi luar negara hanya dikira pada hari pengundian.

Sekeping gambar menunjukkan orang ramai berkumpul secara besar-besaran tular di Facebook kononnya ia adalah suasana kempen calon Presiden Joko Widodo.

Ia adalah berita palsu kerana gambar itu adalah perhimpunan yang diadakan di Turki pada Jun 2018.

Beberapa hantaran di Facebook yang dikongsi ratusan kali mengatakan calon presiden Indonesia, Prabowo Subianto mempunyai latar belakang akademik cemerlang termasuk melanjutkan pengajian ke universiti di Amerika Syarikat ketika berusia 12 tahun.

Resume rasmi Prabowo yang disahkan Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia menafikan semua dakwaan palsu itu.

Beberapa gambar tular mendakwa Presiden Joko Widodo mendapatkan rawatan kerana dirasuk hantu sedangkan gambar itu sebenarnya diambil pada 2014 ketika beliau melawat sebuah sekolah agama berasrama penuh di Jawa Barat.

Sekeping gambar palsu dikongsi beberapa kali di media sosial apabila menunjukkan jemaah lelaki dan wanita menunaikan solat bersama ketika kempen calon Prabowo Subianto.

Gambar itu sebenarnya dicantum menggunakan gambar asal jemaah lelaki dan wanita yang diambil secara berasingan oleh seorang jurugambar portal berita Indonesia.

Disiarkan pada: April 17, 2019 @ 4:38pm
d