global

Telan sudu empat hari

Oleh Agensi

SHENZHEN: Seorang wanita tertelan sudu besi sepanjang 13 sentimeter ketika cuba mengorek keluar tulang ikan dari kerongkongnya dalam kejadian baru-baru ini.

Wanita bernama Lili hanya mendapatkan rawatan di hospital empat hari kemudian kerana mendakwa tidak merasai kesakitan selepas tertelan sudu itu pada 5 April lalu.

Daily Mail memetik akhbar petang Shenzhen melaporkan Lili membiarkan sudu itu dalam badannya kerana enggan ke hospital ketika cuti umum perayaan Qingming.

Imbasan X-ray menunjukkan sudu itu berada dalam usus kecil Lili dan doktor melakukan pembedahan endoskopi untuk mengeluarkan perkakas itu.

Prosedur itu mengambil masa 10 minit dan Lili dibenarkan pulang ke rumah selepas pembedahan.

Doktor Jabatan Endoskopi Hospital Nanshan Shenzhen, Sun Tingji berkata, sudu itu terlepas dari genggaman wanita berkenaan ketika dia cuba mengeluarkan tulang ikan yang tersekat dalam kerongkongnya. - Agensi

Disiarkan pada: April 18, 2019 @ 9:25pm
d