global

Suami isteri kejam dipenjara 25 tahun

Oleh AFP

CALIFORNIA: Sepasang suami isteri dijatuhkan hukuman penjara sekurang-kurangnya 25 tahun selepas mengaku bersalah mengurung dan menyeksa 12 daripada 13 anak mereka, dalam kes yang mengejutkan dunia tahun lalu.

AFP melaporkan, pasangan terbabit, David Allen Turpin, 57, dan Louise Anna Turpin, 50, mengaku salah terhadap 14 tuduhan jenayah termasuk melakukan kekejaman, mengurung, mengabaikan dan menyeksa anak mereka yang berusia antara tiga dan 30 tahun.

Kes itu terbongkar selepas salah seorang mangsa berjaya melarikan diri dari tingkap rumah sebelum menghubungi talian kecemasan.

Berdasarkan petikan percakapan mangsa yang didedahkan dalam prosiding mahkamah, dia memberitahu dua daripada adik beradiknya dirantai pada katil hingga tangan mereka lebam selain sukar memberitahu alamat rumah.

Dia memberitahu pegawai kecemasan, tempat kurungan itu terlalu kotor hingga menyebabkannya sesak nafas dan mereka juga tidak pernah mandi.

“Saya tidak pernah keluar. Tangan kami dirantai jika tidak melakukan apa yang disuruh.

“Kadangkala adik perempuan saya terjaga dan menangis kerana tidak tahan sakit,” kata remaja itu ketika membuat panggilan.

Disiarkan pada: April 20, 2019 @ 10:30am
d