global

Sekolah diarah tubuh unit gangguan anti-seksual

Oleh AFP

DHAKA: Kira-kira 27,000 sekolah di Bangladesh diarah menubuhkan jawatankuasa menghalang keganasan seksual, kata pegawai hari ini, selepas seorang remaja yang menuduh gurunya melakukan serangan seksual dibakar sehingga mati.

Pembunuhan Nusrat Jahan Rafi, 19, mencetuskan kemarahan di seluruh negara dengan 165 juta penduduk dan menjadikan tindakan polis dalam kes bawah perhatian.

Penunjuk perasaan di Dhaka mengadakan demonstrasi berturut-turut hari ke-11 hari ini, menuntut ‘hukuman teladan’ bagi pembunuh gadis itu.

Polis berkata mangsa diajak ke bumbung sekolahnya di Feni, selatan Dhaka, di mana penyerang mengarahnya untuk menarik balik aduan polis terhadap pengetua sekolah.

Nusrat yang menolak permintaan itu disiram dengan minyak tanah dan dibakar. Remaja itu meninggal dunia di hospital pada 10 April lalu selepas 80 peratus tubuhnya terbakar.

Sekurang-kurangnya 20 orang, termasuk pengetua sekolah itu, ditahan.

“Jawatankuasa berkenaan diketuai guru wanita. Mereka akan bertindak untuk mencegah gangguan seksual dan menerima sebarang aduan.

“Ia dibentuk atas perintah mahkamah tinggi negara, yang meletakkan satu garis panduan bagi mencegah gangguan seksual wanita dan kanak-kanak di tempat kerja, sekolah dan di jalanan pada 2009,” kata Pengarah Direktorat Pendidikan Tinggi dan Menengah, Shahedul Khabir Chowdhury kepada AFP.

Disiarkan pada: April 21, 2019 @ 10:37pm
d