global

Mahkamah tolak rayuan wartawan Reuters

Oleh Reuters

NAYPYITAW: Mahkamah tertinggi Myanmar menolak rayuan dua wartawan Reuters yang dihukum penjara tujuh tahun kerana melanggar Akta Rahsia Rasmi berhubung laporan mereka terhadap pembunuhan 10 lelaki Rohingya dewasa dan kanak-kanak.

Hakim Mahkamah Agung Soe Naing dalam keputusannya berkata: “Mereka dihukum penjara tujuh tahun dan keputusan itu kekal, seterusnya rayuan ini ditolak.”

Wa Lone, 33, dan Kyaw Soe Oo, 29, sudah berada dalam tahanan selama lebih 16 bulan sejak ditahan pada Disember 2017 ketika melaporkan insiden itu. Mereka ditahan di mahkamah Insein di Yangon dan tidak hadir untuk prosiding semalam.

Isteri mereka yang datang dari Yangon untuk mendengar keputusan semalam menangis selepas prosiding selesai.

Dua wartawan itu dipenjara tujuh tahun pada September tahun lalu oleh mahkamah daerah di Yangon.

Mahkamah Tinggi menolak rayuan mereka terhadap keputusan itu, Januari lalu, sebelum kes difailkan pula di Mahkamah Agung atas alasan tiada bukti selain keterangan menunjukkan mereka diperangkap, daripada seorang anggota polis yang mengaku dokumen rahsia diletakkan pada mereka.

Disiarkan pada: April 23, 2019 @ 3:36pm
d