global

Daish mengaku serang Sri Lanka

Oleh AFP

COLOMBO: Kumpulan militan Daish semalam mengaku bertanggungjawab melakukan siri serangan bunuh diri ke atas gereja dan hotel di Sri Lanka yang mengorbankan lebih 320 orang.

Dakwaan itu turut disertakan sekeping gambar dan video anggotanya melakukan serangan pada Ahad lalu.

Letupan bom memusnahkan tiga hotel mewah terkenal dengan pelancong asing dan tiga gereja yang penuh dengan penganut Kristian menyambut Easter.

Agensi propaganda Daish, Amaq dalam satu kenyataan berkata pihak yang menjalankan serangan menyasar anggota pakatan diketuai Amerika Syarikat dan Kristian di Sri Lanka, Ahad lalu adalah militan Daish.

Kumpulan itu kemudian mendedahkan nama samaran tujuh individu serta gambar lapan lelaki di sebalik serangan terbabit.

Pihak berkuasa Colombo menuduh kumpulan pelampau tempatan Thowheeth Jama’ath Nasionalis (NTJ) melakukan serangan itu, namun masih menyiasat sekiranya wujud sokongan antarabangsa, lapor AFP.

Polis Sri Lanka memberitahu AFP dua anak lelaki pedagang rempah kaya negara ini meletupkan diri di Hotel Shangri-La dan Cinnamon Grand.

Hotel The Kingsbury adalah sasaran terakhir, namun sumber memberitahu serangan keempat di sebuah hotel gagal.

Penyerang kemudian meletupkan diri ketika polis berjaya menjejakinya di sebuah penginapan di Sri Lanka.

Polis sudah menahan sekurang-kurangnya 40 orang dan keganasan itu adalah yang terburuk di Colombo sejak perang saudara berakhir sedekad lalu.

Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe berkata, polis terus mencari suspek masih bebas yang antaranya bersenjatakan bahan letupan dan tidak menolak serangan lanjut.

Disiarkan pada: April 24, 2019 @ 10:55am
d