global

Pelajar, kakitangan dua universiti kuarantin kerana campak

Oleh Reuters

LOS ANGELES: Penularan wabak campak di seluruh Amerika Syarikat memaksa pegawai kesihatan mengasingkan puluhan pelajar dan kakitangan dua universiti di sini, semalam.

Kuarantin membabitkan University of California, Los Angeles (UCLA) dan California State University, Los Angeles (Cal State LA).

Amerika Syarikat kini berdepan jumlah kes campak tertinggi sejak virus terbabit diisytiharkan hapus di negara itu pada 2000.

Individu yang diarahkan kuarantin di kampus didapati terdedah dengan campak dan gagal memberi bukti mereka sudah menerima imunisasi terhadap penyakit itu, kata Jabatan Kesihatan Awam Los Angeles dalam kenyataan.

Kuarantin di Cal State LA membabitkan pendedahan campak yang dipercayai berlaku di sebuah perpustakaan pada 11 April lalu, kata universiti itu dalam satu kenyataan.

Seramai 198 kakitangan termasuk 71 pelajar universiti berkenaan yang berada dalam perpustakaan itu diasingkan.

Di UCLA, seramai 119 pelajar dan lapan kakitangan yang terdedah dengan campak awal April ini serta gagal memberi bukti menerima imunisasi diarahkan kuarantin Rabu lalu.

Setakat ini, 45 orang di kuarantin UCLA dibenarkan pulang selepas berjaya membuktikan mereka imun terhadap penyakit itu.

Pegawai kesihatan California berkata, sebanyak 38 kes campak disahkan di negeri itu.

Disiarkan pada: April 26, 2019 @ 11:11am
d