global

11 senjata api lesap dari balai polis New Zealand

Oleh AFP

WELLINGTON: Polis New Zealand malu selepas 11 senjata api dicuri dari sebuah balai polis di tengah North Island, baru-baru ini.

Senjata berkenaan yang antaranya untuk dilupuskan lesap dari balai polis Palmerston North.

“Saya memandang berat isu ini. Ia sukar diterima,” kata jurucakap polis Sarah Stewart.

Radio New Zealand melaporkan, sekurang-kurangnya salah satu daripada senjata terbabit adalah separa automatik yang diharamkan oleh kerajaan.

Bagaimanapun, Sarah enggan mengesahkan kes itu mahupun menjawab pertanyaan sama ada peluru turut diambil.

“Sebanyak 11 senjata api di ruang penyimpanan pameran masih belum ditemui lagi.

“Ingin saya jelaskan senjata berkenaan hanya untuk pameran atau diserahkan kepada polis untuk dilupuskan,” katanya.

Menurut AFP, polis mencari seorang lelaki, Alan James Harris berusia 38 tahun yang dilihat berada dalam kawasan balai polis ketika kejadian berlaku.

Susulan serangan dua masjid di Christchurch yang mengorbankan 50 orang, 15 Mac lalu, kerajaan mengharamkan pemilikan senjata separa automatik dan melaksanakan skim pembelian semula.

Setakat ini, sekitar 3,000 senjata api diserahkan kepada pihak berkuasa dan segelintir pemilik sudah melengkapkan borang atas talian bagi tujuan koleksi.

Disiarkan pada: April 26, 2019 @ 4:29pm
d