global

Bunuh bayi bukan zuriat

Oleh Agensi

TENNESSEE: Seorang lelaki didakwa membunuh bayi empat bulan yang dibelasah mati selepas mendapat tahu kanak-kanak itu bukan anaknya.

Jose Avila-Agurcia, 33, dari Memphis didakwa atas tuduhan bunuh akibat penderaan serta pengabaian seorang kanak-kanak dalam kematian Alexander Lizondro-Chacon.

News.com.au melaporkan, ibu mangsa, Mercy Lizondro-Chacon memanggil polis ke rumahnya di Memphis pada 12 April lalu dengan mengadu bayinya tidak bergerak dan sukar bernafas.

Alexander dikejarkan ke Hospital Kanak-Kanak Le Bonheur tetapi disahkan meninggal dunia akibat pukulan objek tumpul di kepalanya, lapor New York Post. Tengkorak serta rusuk kanak-kanak itu juga retak, selain dia menghidap radang paru-paru.

Polis mengesyaki Avila-Agurcia sebagai suspek selepas Mercy memberitahu lelaki itu mengaku kepadanya bahawa dia memukul Alexander berulang kali di kepala kerana mendapat tahu dia bukan bapa bayi malang itu.

Suspek yang juga warga Honduras dilaporkan tinggal di Amerika menggunakan nama samaran malah pernah diusir dari negara itu sebanyak lima kali.

Disiarkan pada: April 26, 2019 @ 10:24pm
d