global

Sosej racun bunuh kucing liar

Oleh Agensi

CANBERRA: Kerajaan Australia menggugurkan sosej beracun dari udara di kawasan hutan dalam usahanya untuk menghapuskan dua juta kucing liar menjelang 2020.

Daily Mail melaporkan, kaedah menembak dan meracun haiwan terbabit di kawasan seluas 10 juta hektar itu menimbulkan kontroversi hingga dikecam kumpulan aktivis.

Sebuah kumpulan aktivis haiwan, Direct Action Everywhere (DXE) mengkritik tindakan kerajaan itu yang tidak mempertimbangkan kaedah lain seperti pemandulan.

Haiwan liar itu dikatakan membunuh 377 juta burung dan 649 juta reptilia setiap tahun yang menyebabkan tanah kurang subur dan tidak produktif.

New York Times melaporkan, racun tertentu ditambah pada sosej terdiri daripada campuran daging kangaru, lemak ayam serta herba dan rempah.

Jurucakap DXE, Wayne di akaun Facebook berkata, tindakan kerajaan itu ‘amat membimbangkan dan ironi’ memandangkan spesis paling bahaya di muka bumi sebenarnya adalah manusia.

Dia mencadangkan kerajaan mengambil langkah lebih sesuai seperti melakukan program pemandulan atau tindakan terhadap penjaga kucing yang mengabaikan haiwan peliharaan mereka.

Disiarkan pada: April 27, 2019 @ 10:08pm
d