global

10 maut, 8 hilang akibat banjir di Sumatera

Oleh AFP

JAKARTA: Sekurang-kurangnya 10 maut dan lapan lagi hilang selepas hujan lebat beberapa hari menyebabkan banjir dan tanah runtuh di Sumatera, Indonesia, kata pihak berkuasa hari ini.

Kira-kira 12,000 orang dipindahkan manakala beratus-ratus bangunan, jambatan dan jalan raya rosak teruk akibat cuaca buruk yang menjejaskan sembilan daerah atau bandar di seluruh Bengkulu.

Air mulai surur di beberapa tempat tetapi pegawai memberi amaran kerosakan sepenuhnya masih belum diketahui dan beberapa kawasan masih terputus hubungan.

“Impak bencana mungkin meningkat. Tanah runtuh dan banjir boleh berlaku sekali lagi jika hujan lembat,” kata jurucakap agensi bencana kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho.

Penyakit kulit dan jangkitan pernafasan teruk disebabkan masalah kebersihan dan kekurangan air bersih kemungkinan boleh berlaku, katanya.

Disiarkan pada: April 28, 2019 @ 8:05pm
d