global

2,426 penerbangan batal, jejas 280,000 penumpang

Oleh AFP

COPENHAGEN: Sebanyak 110,000 penumpang pesawat berkemungkinan terjejas selepas syarikat Penerbangan Scandinavia (SAS), hari ini, membatalkan 1,213 penerbangan akibat mogok dilancarkan juruterbang.

Juruterbang yang menuntut gaji dan persekitaran kerja lebih baik meninggalkan tugas masing-masing di Sweden, Denmark dan Norway kelmarin dan ia kini dijangka menjejaskan 280,000 penumpang secara keseluruhan.

SAS pada awalnya meramalkan 170,000 penumpang akan terjejas menjelang akhir hari ini, tetapi kini berkata sebanyak 667 penerbangan esok dan 546 pada hari Selasa juga ditangguhkan.

Mogok yang dilancarkan oleh 1,409 juruterbang memberi kesan kepada penerbangan domestik, Eropah dan jarak jauh.

Persatuan Juruterbang Swedish Air Line, yang memulakan mogok, berkata rundingan selama beberapa bulan gagal mencari penyelesaian kepada ‘persekitaran kerja teruk, jadual kerja tidak dijangka dan tugas tidak selamat’.

Namun Perusahaan Persekutuan Pengangkutan Sweden menegaskan ia tidak boleh menerima tuntutan kenaikan gaji 13 peratus, memandangkan gaji purata yang sudah tinggi iaitu AS$9,769 (RM40,383) sebulan.

Persatuan juruterbang berkata, jadual kerja, bukan gaji, adalah masalah utama kerana kebanyakan juruterbang SAS perlu bertugas pada masa dan hari yang berubah dan kadang-kala terpaksa bekerja pada hujung minggu berturut-turut. - AFP

Disiarkan pada: April 28, 2019 @ 9:46pm
d