global

Kutip RM4.13 bilion seminggu

Oleh Agensi

LOS ANGELES: Filem siri Avengers: Endgame sudah memecah rekod pecah panggung dan kini dijangka mencatat rekod baru lebih AS$1 bilion (RM4.13 bilion) bagi minggu pertama tayangan.

Sehingga semalam, filem terbitan Disney dan Marvel itu mencatat kutipan AS$643.7 juta (RM2.66 bilion) di seluruh dunia, lapor Deadline.

Di Amerika Syarikat sahaja, jualan tiket Endgame sehingga kelmarin, sudah mengutip AS$156.7 juta (RM647.64 juta).

Daily Mail melaporkan, kutipan filem itu di Amerika sudah mengatasi rekod Star Wars: The Force Awakens’ (RM491.8 juta) pada 2015 dan Avengers: Infinity War’s (RM438.1 juta).

Di luar Amerika, menurut Deadline, kutipan filem dibintangi Chris Hemsworth, Robert Downey Jr dan Brie Larson sebanyak RM2.02 bilion itu sudah mengatasi rekod tayangan minggu pertama The Fate of the Furious yang mengutip AS$443 juta (RM1.83 bilion).

Di beberapa bandar raya di Amerika Syarikat, pawagam beroperasi sepanjang malam, malah ada yang memulakan tayangan seawal jam 4.30 pagi pada Jumaat lalu.

Seorang pengguna Twitter yang menyaksikan tayangan awal berkata, panggung sudah sesak dengan penonton mulai jam 3 pagi.

Lima negara yang mencatat box-office tertinggi bagi Endgame semalam ialah China (AS$300.3 juta), United Kingdom (AS$27 juta), Korea Selatan (AS$34.5 juta), Australia (AS$19.7 juta) dan Jerman (AS$15.g juta).

Disiarkan pada: April 28, 2019 @ 10:09pm
d