global

Dipaksa bogel, kena cat pula

Oleh Agensi

MEXICO CITY: Sindiket dadah Mexico membogel dan mengecat tubuh tujuh orang, termasuk seorang wanita dengan watak adiwira filem Avengers sebelum dipaksa berjalan di tengah-tengah bandar Mexcan di Nuevo Laredo.

Gambar ketujuh-tujuh individu terbabit tular di media sosial sejak kelmarin, menunjukkan mereka berjalan, berdiri dan terbaring di satu kawasan di Tamaulipas.

Daily Mail yang memetik Radio Formula melaporkan, sindiket dadah Northeast sengaja memalukan mangsa dengan menyuruh mereka berbogel sebelum tubuh mereka dicat dengan watak adiwira Marvel, termasuk Spider-Man, Iron Man serta Captain Marvel dan Black Panther.

Menurut akhbar Vanguardia, satu gambar menunjukkan lima lelaki dan seorang wanita bersandar pada sebuah pintu premis perniagaan manakala seorang lelaki berusaha menutup wajah, bahagian sulit dan punggungnya.

Pihak berkuasa tidak mendedahkan motif kartel terbabit dan tiada tangkapan dibuat.

Sindiket dadah Mexico pernah menggunakan taktik sama sebelum ini, apabila seorang lelaki ditinggalkan di tepi jalan Februari lalu, dengan tulisan di belakang badannya sebagai amaran kepada sindiket saingannya.

Sindiket dadah Northeast adalah serpihan Los Zetas selepas ketua kumpulan itu, Omar Trevino Morales ditangkap pada 2014.

Disiarkan pada: May 2, 2019 @ 8:29pm
d