global

Kenapa lembap sangat

Oleh Agensi

MAKASSAR: Kerana berang dengan kerenah birokrasi ketika proses jual beli tanah, seorang lelaki bertindak membakar pejabat kampung dan menyiarkan aksi berkenaan di Facebook Live.

Kompas.com melaporkan, Muhammad Sai, 42, mendakwa dipermainkan ketua kampungnya untuk menyelesaikan proses menjual sebidang tanah miliknya di Mallongi-longi, Pinrang, Sulawesi Selatan.

“Saya tidak tahan lagi. Saya dipermainkan oleh ketua kampung. Dia berjanji dan terus berjanji tetapi tidak ditunaikan. Akhirnya saya membakar pejabat kampung,” katanya yang kini ditahan di ibu pejabat polis Pinrang.

Dalam kejadian itu Muhammad membawa daun pisang kering yang disimbah petrol sebelum membakarnya di dalam pejabat ketua kampung.

Muhammad memberitahu, dia beberapa kali berulang alik dari Palu di Sulawesi Tengah ke Pinrang, Sulawesi Selatan hanya untuk menguruskan jual beli tanah berkenaan yang belum diluluskan ketua kampung Mallongi-longi.

Katanya, dia menjual dua tanah pusaka iaitu sawah seluas 34 hektar dan tanah pertanian seluas 18 hektar dengan harga Rp200 juta (RM58,088).

“Saya sudah bayar Rp5 juta (RM1,452) untuk proses itu tetapi hanya jual beli tanah sawah yang selesai. Saya dipermainkan ketua kampung kerana dia menyangka saya tidak mengundinya dalam pilihan raya tempatan sebelum ini,” jelasnya.

Disiarkan pada: May 3, 2019 @ 6:22pm
d