global

Gunung Sinabung muntahkan asap, debu

Oleh AFP

JAKARTA: Gunung berapi di Indonesia meletus hari ini, dengan menyemburkan debu dan asap kira-kira 2,000 meter ke udara menyebabkan beberapa kampung diliputi serpihannya.

Gunung Sinabung di kepulauan Sumatra yang aktif pada 2010, meletus dahsyat pada 2016 dan mengeluarkan asap tebal selepas aktiviti memuncak sejak beberapa hari lalu.

Pegawai agensi bencana berkata, letusan itu berpotensi menjejaskan penerbangan, tetapi tidak mengeluarkan sebarang notis rasmi untuk pesawat mengelak dari kawasan itu.

Penduduk tempatan di sepanjang sungai berhampiran kawah dinasihatkan berwaspada dengan aliran lahar.

Tiada laporan kecederaan atau kematian diterima selepas letusan terbaru dan agensi bencana tidak mengeluarkan arahan pemindahan.

Sinabung kembali aktif pada 2010 buat kali pertama sejak 400 tahun. Selepas tempoh tidak aktif, ia meletus semula pada 2013, dan kekal aktif sejak itu.

Pada 2016, tujuh maut dalam salah satu letusan Sinabung manakala letusan pada 2014 mengorbankan 16 orang.

Disiarkan pada: May 7, 2019 @ 6:45pm
d