global

Mula hidup baru

Oleh Reuters

TBILISI: Dua beradik perempuan dari Arab Saudi yang mendapat perhatian dunia selepas melarikan diri ke Georgia dan merayu perlindungan di Internet berkata, mereka kini bersedia memulakan kehidupan baru di negara lain jauh daripada keluarga.

Maha al-Subaie, 28, dan adiknya Wafa, 25, memulakan kempen dalam talian untuk mencari tempat selama pada April lalu sebaik tiba di Georgia dalam usaha melarikan diri daripada keluarga yang didakwa mendera mereka, dalam kes terbaru mengetengahkan kawalan ketat terhadap wanita Arab Saudi.

“Kami gembira mengumumkan akan meninggalkan Georgia,” kata dua beradik itu di akaun Twitter @GeorgiasSisters2 yang turut menunjukkan mereka memegang pasport Georgia di ibu negara, Tbilisi.

Mereka memohon suaka di Georgia pada April, tetapi mengatakan keinginan berpindah ke negara lain kerana bimbang keluarga mudah datang ke negara bekas Soviet yang tidak memerlukan visa untuk memaksa mereka pulang ke Arab Saudi.

Susulan itu, hari ini mereka berkata, destinasi mereka akan dirahsiakan buat masa ini, namun mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong mereka.

“Dalam menyesuaikan diri di tempat baru, kami akan terus menyokong wanita di Arab Saudi dan meneruskan perjuangan terhadap salah guna kuasa oleh penjaga lelaki. Ramai wanita Arab Saudi memberikan sokongan dan kami tidak akan melupakannya,” kata mereka.

Disiarkan pada: May 7, 2019 @ 8:19pm
d