global

Penjara 10 tahun, serangan seksual kanak-kanak

Oleh AFP

STOCKHOLM: Seorang doktor warga Sepanyol dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sweden, hari ini kerana melakukan serangan seksual dan merogol kira-kira 50 kanak-kanak berumur dua hingga 12 tahun.

Cristian Carretero, 29, didapati bersalah atas empat jenayah rogol dan 46 serangan seksual kanak-kanak bawah umur, terutamanya gadis muda dan memiliki pornografi kanak-kanak.

Carretero yang juga seorang doktor penjagaan utama yang menuntut di Universiti Barcelona, turut diusir dari Sweden selepas dia menjalani hukumannya.

Mahkamah mendapati antara 2015 hingga 2017, dia mengaku melakukan jenayah di beberapa pusat perubatan Sweden dan semasa konsultasi dalam talian.

Dia ditahan pada Disember 2017 selepas seorang kanak-kanak yang perlu diperiksa untuk penyakit kecil diarah menjalani pemeriksaan genital.

Dalam konsultasi dalam talian pula, Carretero meyakinkan ibu bapa untuk memeriksa alat sulit anak-anak mereka dan turut sama melihatnya.

Mahkamah mendapati dia bersalah atas tuduhan rogol dan diburukkan lagi kerana dia menggunakan kedudukannya sebagai doktor, menyalahguna kepercayaan tertentu dan umur mangsa.

Hampir 80 orang didaftarkan sebagai plaintif dalam kes itu, termasuk 55 kanak-kanak.

Disiarkan pada: May 7, 2019 @ 10:46pm
d