global

Padah tawarkan pacaran 'lain daripada lain'

Oleh AFP

BRUSSELS: Seorang usahawan dan firmanya didenda lebih 250,000 euro (RM1.2 juta) kerana mempromosikan pelacuran melalui laman web janji temu ‘Sugar Daddy’ untuk lelaki kaya dengan wanita muda.

Mahkamah di Brussels itu juga mengarahkan hukuman penjara tertangguh selama enam bulan terhadap Sigurd Vedal, 57, pelabur dari Norway yang menggelar dirinya ‘pakar hubungan’ kerana laman web miliknya, RichMeetBeautiful.com.

Mahkamah mengarahkan Vedal didenda 24,000 euro (RM112,000) manakala syarikatnya 240,000 euro (RM1.1 juta).

Pada 2017, pelajar yang kembali ke kampus Free University of Brussels selepas cuti musim panas dialu-alukan dengan trak membawa poster seorang wanita yang hanya berpakaian dalam bersertakan slogan: “Hey pelajar perempuan, baiki cara hidup anda, berkenalanlah dengan seorang ‘Sugar Daddy.’”

Trak itu dirampas selepas pihak universiti mengadu kepada polis, dan Vedal kemudian ditahan serta didakwa atas tuduhan ‘menghasut perlakuan keji dan pelacuran.’

Ketika perbicaraannya, bulan lalu Vedal mendakwa dia sekadar mahu memberi pilihan kepada pelanggan mencuba janji temu yang ‘lain daripada yang lain.’

Disiarkan pada: May 8, 2019 @ 8:33pm
d