global

Wira naik kren

Oleh Agensi

BEIJING: Seorang pengendali kren berusia 19 tahun menyelamatkan nyawa 14 orang yang terperangkap dalam kebakaran di timur laut China minggu lalu apabila menggunakan jentera berat berkenaan untuk mengeluarkan mereka ke tempat selamat.

Lan Junze bertugas di tapak pembinaan berhampiran sebuah bangunan apartmen di Fushun, wilayah Liaoning, Khamis minggu lalu apabila kedai runcit di aras pertama tiba-tiba terbakar, lapor Thepaper.cn.

Video kejadian menunjukkan api marak dengan pantas dan menghasilkan asap hitam tebal.

Lan terus memandu kren ke arah kebakaran dan menggunakannya untuk mengambil penduduk yang terperangkap di aras kedua hingga ketujuh dalam tempoh hanya setengah jam, lapor South China Morning Post.

“Saya terus menggerakkan kren ke situ apabila terdengar jeritan meminta tolong. Saya berjaya menyelamatkan seorang ibu dan anak lelakinya, selain keluarga tiga beranak termasuk seorang wanita berusia 79 tahun.

“Ketika itu memang saya tidak berfikir panjang. Saya cuma mahu menyelamatkan mereka,” kata Lan dipetik Global Times.

Sementara itu, seorang penduduk yang diselamatkannya berkata di Pear Video: “Dia menggadai nyawa untuk menyelamatkan kami, malah enggan beredar selagi kami semua selamat. Kami sangat berterima kasih kepadanya.”

Menurut Lan, dia mendengar letupan di bahagian pemandu tetapi tidak mengendahkannya, lapor Red Star News.

“Saya hanya memfokuskan untuk menyelamatkan mereka, tanpa berfikir mengenai perkara lain.

“Saya berbesar hati dengan pujian semua orang. Saya rasa saya melakukan sesuatu yang hebat,” katanya.

Punca kebakaran masih disiasat.

Sementara itu, pengguna Weibo rata-rata memuji tindakan Lan itu.

“Tabik pemuda ini, orang biasa yang melakukan sesuatu yang luar biasa,” kata seorang pengguna.

Disiarkan pada: May 9, 2019 @ 8:24am
d