global

'Siar' urut

Oleh Agensi

BEIJING: Pelanggan sebuah spa di tengah China membuat laporan polis selepas sesi mengurut di pusat kesihatan berkenaan disiarkan secara langsung menggunakan telefon pintar dan ditonton oleh seorang lelaki separuh bogel.

Akhbar Chutian Metropolis News melaporkan, wanita itu yang dikenali sebagai Li berkata, dia mengunjungi sebuah spa di Wuhan, wilayah Hubei dan diurut seorang remaja perempuan.

Katanya, ketika sesi urutan badan itu dia tidak memakai baju sebelum melihat satu telefon bimbit di atas meja dan menghadapnya.

Li memberitahu, telefon bimbit itu diset pada mod perbualan video dan seorang lelaki separuh bogel berada di talian satu lagi.

Terkejut melihat telefon bimbit berkenaan, Li merampas telefon bimbit berkenaan dan menghubungi polis.

“Polis datang dan mengambil telefon bimbit berkenaan sebagai bukti dan mendapati perbualan video itu sudah berlangsung selama 33 minit 33 saat,” katanya.

Tambah Li, dia ditawar 20,000 yuan (RM12,207) oleh pemilik spa berkenaan untuk tidak mendedahkan perkara itu kerana pekerja berkenaan berusia bawah 16 tahun dan tidak boleh didakwa mengikut undang-undang.

Seorang eksekutif spa itu yang dikenali sebagai Chan mendakwa, pekerja berkenaan adalah pelatih dan rakaman itu berlaku secara tidak sengaja.

“Pelatih itu melanggar peraturan dengan membawa telefon bimbit ke dalam bilik spa dan berbual dengan seorang rakannya.

“Dia meletakkan telefon itu untuk mengurut pelanggan tetapi terlupa untuk mematikannya,” katanya.

Menurutnya, pihak pengurusan spa dan Li gagal mencapai persetujuan kerana pelanggan berkenaan meminta ganti rugi yang lebih tinggi berbanding yang ditawarkan syarikat berkenaan.

Disiarkan pada: May 11, 2019 @ 9:55am
d