global

Simpan buruh paksa

Oleh Agensi

NEW JERSEY: Seorang wanita didapati bersalah menjadikan seorang wanita Sri Lanka hambanya dengan bekerja selama sembilan tahun tanpa dibayar gaji, menyebabkannya melanggar tempoh visa seterusnya mengahwininya untuk memastikan dia terus kekal di Amerika Syarikat (AS).

New York Times melaporkan, Alia Imad Faleh Al-Hunaity, 43, didapati bersalah atas tuduhan menyimpan buruh paksa, menyimpan pendatang asing tanpa izin untuk manfaat kewangan, dan penipuan perkahwinan selepas perbicaraan selama enam hari di Mahkamah Daerah Camden.

Mangsa yang tidak didedahkan identitinya itu dilaporkan menjaga anak-anak Alia dan membersihkan rumahnya selain tidak didedahkan dengan dunia luar. Dia datang ke AS menggunakan visa sementara pada 2009.

Sementara itu, Pendakwa Raya Craig Carpenito berkata: “Tertuduh menahan mangsa di negara ini secara haram malah menyoroknya daripada pandangan semua orang supaya dapat bekerja di rumahnya tanpa bayaran atau kebebasan bergerak.”

US News melaporkan, mangsa dipaksa tidur di dapur atau tempat terbuka lain di rumah tertuduh.

Bagaimanapun, dakwaan itu dinafikan peguam bela Robert Kovic yang menegaskan ‘mangsa’ sendiri tidak bersetuju dengan tuduhan berkenaan.

Berdasarkan dokumen mahkamah, Alia yang berasal dari Jordan dan menjadi rakyat AS melalui proses naturalisasi, ibu beranak tiga yang sudah bercerai. Mangsa bekerja untuk ibu bapa Alia di Jordan sebelum mengikutnya ke AS.

Mahkamah menetapkan 4 September ini untuk hukuman. Tuduhan berkaitan buruh paksa membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun jika sabit kesalahan.

Disiarkan pada: May 12, 2019 @ 7:44am
d